Halaman

Get Paid Taking Pictures

Isnin, 29 Jun 2009

Kenali buah pinggang anda

SIRI PERTAMA
PENGESANAN awal penyakit buah pinggang amat penting untuk melambatkan penularan penyakit ini dan mencegah penyakit kardiovaskular yang berkaitan.
Buah pinggang adalah organ yang penting dalam badan. Meskipun saiznya kecil, hanya lebih kurang dua penumbuk tangan, buah pinggang kita mempunyai keupayaan untuk menapis bahan buangan daripada darah dan membantu membuang bendalir berlebihan.
Setiap hari, kira-kira 200 liter darah ditapis atau ‘dibersihkan’ oleh buah pinggang. Di samping itu, buah pinggang juga terlibat dalam penghasilan sel-sel darah merah, kawalan tekanan darah, kawalan keseimbangan asid-bes (alkali) dan penjagaan kesihatan tulang.
Jika terdapat keadaan tidak normal dalam buah pinggang, contohnya tahap protein melebihi paras normal atau terdapat kesan darah dalam air kencing atau jika fungsi buah pinggang merosot, besar kemungkinan kita menghidap penyakit buah pinggang kronik.
Pada peringkat awal, penyakit buah pinggang tidak ketara kerana pesakit masih berasa sihat. Oleh kerana itu, adalah tidak menghairankan jika ramai orang tidak sedar mereka mengalami masalah buah pinggang dan lama-kelamaan penyakit ini lebih teruk.
Hakikatnya, penularan penyakit buah pinggang kronik adalah lebih serius daripada yang kita sangkakan.
Kajian terhadap pelbagai bangsa di seluruh dunia menunjukkan bahawa kira-kira satu daripada setiap 10 orang dewasa menghidap penyakit buah pinggang kronik.
Di samping itu, penyakit buah pinggang kronik adalah ‘penyakit berganda’ kerana ia dikaitkan dengan peningkatan sekurang-kurangnya 10 kali ganda risiko kematian awal akibat penyakit jantung, strok dan penyakit vaskular periferal.
Fungsi renal atau ginjal adalah pada tahap optimum dengan dua buah pinggang yang sihat. Sedikit kemerosotan dalam kadar fungsi biasanya tidak memudaratkan.
normal
Seseorang masih dapat menjalani hidup normal dengan hanya satu buah pinggang, yang memberikan 50 peratus fungsi renal.
Masalah kesihatan yang serius biasanya mula timbul apabila fungsi renal seseorang merosot hingga di bawah paras 30 peratus.
Apabila fungsi renal kurang daripada paras 10 hingga 15 peratus, peluang untuk hidup adalah tipis jika pesakit tidak menjalani rawatan penggantian fungsi ginjal seperti dialisis atau pemindahan buah pinggang.
Oleh kerana gejala yang ketara, penyakit buah pinggang hanya dapat dikesan pada peringkat lanjut, adalah penting untuk mengesan penyakit ini pada peringkat awal. Ini boleh dilakukan melalui pemeriksaan kesihatan yang mudah dan berkala, khususnya ujian air kencing, darah dan tekanan darah.
Jika dikesan awal, penularan penyakit buah pinggang boleh dilambatkan dengan rawatan dan strategi pengurusan kesihatan yang betul. Pesakit diabetes, mereka yang mengalami tekanan darah tinggi, warga tua dan mereka yang mempunyai sejarah keluarga dengan penyakit buah pinggang hendaklah menjalani pemeriksaan secara tetap bagi mengesan penyakit buah pinggang kronik kerana mereka menghadapi risiko yang lebih tinggi untuk diserang penyakit ini.
Mereka yang menghidap penyakit autoimun seperti lupus eritematosus sistemik (SLE), mempunyai berat badan berlebihan atau merokok, serta mereka yang mengambil ubat pelega kesakitan, seperti ubat anti-radang yang bukan steroid (NSAIDS) untuk jangka masa panjang, juga berdepan dengan risiko yang lebih tinggi untuk penyakit buah pinggang kronik.
Berikutan keputusan ujian darah dan air kencing, imbasan buah pinggang dan pemeriksaan lain mungkin dinasihatkan untuk menentukan punca kemerosotan fungsi buah pinggang.
Ini penting agar rawatan yang sebaik mungkin dapat diberikan kepada pesakit untuk mengekalkan fungsi buah pinggang dan secara tidak langsung, mencegah komplikasi kardiovaskular yang berkaitan.
- Rencana pendidikan ini dibawakan oleh Panel Pendidikan Kesihatan Buah Pinggang, dengan sokongan Persatuan Nefrologi Malaysia (MSN) dan Baxter Healthcare Malaysia. Untuk maklumat lanjut atau pertanyaan, layari www.freedomtolive.com.my atau www.msn.org.my.
Masalah gula darah
SEBELUM, ini kita berbincang mengenai Disglisemia sebagai salah satu penyebab penyakit kencing manis jenis II. Hari ini kita akan membincangkan satu lagi teori menarik dan terbukti, dirujuk sebagai “hiperasiditi” (asid berlebihan) badan.
Penyakit degeneratif (Penuaan) dan hubungkait dengan hiperasiditi
Kebanyakan penyakit degeneratif adalah akibat sisa buangan asid yang menimbun dalam badan. Ketika dilahirkan, badan kita bebas daripada deposit sisa buangan asid. Kita mempunyai konsentrasi mineral alkali dan pH badan yang tertinggi. Apabila semakin tua, proses hidup yang biasa ialah kita beransur-ansur menjadi lebih berasid. Itulah sebabnya mengapa degeneratif tidak berlaku semasa muda. Ia lazimnya berlaku selepas umur 40 tahun. Perbezaan antara ketika berusia 20 tahun dan 40 tahun ialah anda telah mengumpul lebih banyak sisa berasid pada usia 40 berbanding 20 tahun.
Untuk mempertahankan kehidupan, badan mestilah mengekalkan suhu badan yang mantap dan nilai pH cecair badan yang malar dengan pH yang sedikit menjurus kepada alkali pada julat yang ketat iaitu 7.3 hingga 7.45. Jika miring walau sedikitpun kepada pH darah yang berasid, ia akan membawa maut, satu keadaan yang badan kita tidak akan membiarkannya berlaku. Untuk mencegah keadaan ini, badan dengan cepatnya akan menyelaraskan pH darah kembali semula ke pH yang beralkali melalui pelbagai mekanisme, seperti menggunakan mineral alkali dalam badan untuk meneutralisasikannya. Apabila mekanisme ini tidak dapat menangani permintaan, maka mekanisme lain akan memainkan peranan. Salah satu daripadanya ialah pemejalan kimia berasid, kemudian mendepositkan dalam tisu dan organ badan. Kolesterol dan asid urik yang terhablur adalah contoh asid yang memejal.
Faktor ketidakseimbangan asid badan
Gaya hidup dan tabiat makan yang tidak baik, pengambilan sayuran dan buah-buahan yang tidak mencukupi, mewujudkan ketidakseimbangan asid dan menyebabkan badan beransur-ansur menjadi berasid. Kita sentiasa sibuk dan sering mendesak badan habis-habisan untuk melakukan sesuatu. Kita berjaga sehingga larut malam dan esok pagi bangun awal untuk menunaikan tanggungjawab. Tekanan fizikal atau mental akan menjana lebih banyak sisa buangan berasid dalam badan. Pencemaran alam sekitar juga satu sebab pengasidan badan. Jika ini berterusan, ia akan membawa padah kepada kesihatan seperti arthritis, tekanan darah tinggi, kanser dan kencing manis (diabetes).
Dalam kes kencing manis, adalah dipercayai bahawa pankreas mengeluarkan salah satu cecair badan pH yang tertinggi dengan nilai pHnya 8.8. Kekurangan ion kalsium merencat pengeluaran dan pelepasan hormon insulin. Saluran darah yang tersumbat disebabkan oleh penimbunan asid juga melemahkan fungsi pankreas. Apabila semakin berumur, kita mengumpul produk sisa berasid, maka kecekapan pankreas juga berkurangan. Rupa-rupanya kita mengumpul sisa berasid di sekeliling pankreas, lebih-lebih lagi lelaki . Orang lelaki, mulanya akan mengumpul asid lemak di sekeliling pinggang .
Penjenisan Metabolik – Makanan yang baik untuk seseorang mungkin menjadi racun kepada orang lain.
Satu lagi teori yang terbukti tentang sebab-
sebab keasidan darah dikenali dengan “teori penjenisan metabolik.” Berpengalaman sebagai pengamal semulajadi, saya dapati bahawa orang yang berlainan mempunyai jenis metabolik berbeza yang menentukan jenis diet manakah yang sesuai: sama ada jenis Karbo ataupun Protein. Keasidan atau kealkalian badan akan ditentukan oleh jenis makanan yang dimakan. Jika anda tidak memakan makanan mengikut jenis dominan anda, ini menyebabkan keasidan dan kealkalian darah yang akan membawa akibat buruk. Pada umumnya kita terbahagi kepada dua jenis metabolik yang nyata, iaitu Jenis Pengoksidaan dan Autonomik. Pengoksidaan pula terbahagi kepada Pengoksidaan Cepat dan Perlahan manakala Jenis Autonomik disubkumpulankan kepada jenis-jenis simpati dan parasimpati. Kira-kira 70% daripada kes kencing manis yang saya uruskan termasuk dalam kategori Pengoksidaan Cepat atau Jenis Protein. Bagi yang mempunyai Pengoksidaan Cepat, memakan makanan yang tinggi karbohidrat akan menyebabkan darah berasid. Diet yang mengandungi protein yang tinggi dan lemak yang baik mutunya merupakan penyelesaian yang unggul bagi masalah mereka. Untuk menentukan jenis metabolik, anda perlu menjalani ujian selama dua jam termasuk ujian air kencing, air liur, darah, serta ujian profil tanda-
tanda penting. Sebaik sahaja jenis dipastikan, anda akan dinasihatkan tentang diet yang sesuai.
Penyelesaian terhadap keadaan ini:
Kurangkan pengasidan dalam sistem dan alkalikan darah. Ini penting selain melakukan perubahan kepada gaya hidup, diet dan memakan suplemen untuk membantu mengawal paras gula darah. Bagi meningkatkan kealkalian dalam badan dan memastikan gula darah sentiasa dalam kawalan:
1. Kurangkan tekanan fizikal dan mental – pelajari bagaimana untuk bertenang
2. Tidur awal – penyelidik mendapati mereka yang tidur lima jam atau kurang adalah 34% lebih berkemungkinan menghidapi kencing manis berbanding yang tidur selama tujuh hingga lapan jam setiap malam.
3. Senaman boleh memejalkan otot dan membakar kalori, menaikkan suhu dalaman badan dan mengembangkan saluran kapilari yang tersumbat agar dapat menyedut sisa buangan yang terpendam dalam sistem.
4. Makan mengikut jenis metabolik anda. Jalani ujian untuk menentukan jenis metabolik dan sebaik sahaja mengetahuinya, makan mengikutnya bagi memastikan pH badan dikekalkan pada tahap optimum.
5. Jauhi minuman ringan, berkarbonat khususnya jenis kola. Selain kandungan gula yang tinggi, ia juga amat berasid.
6. Makan makanan yang pHnya banyak beralkali, dilihat sebagai dapat memulihkan semula kesihatan pankreas:
l Jika mampu, belilah alat pemproses air alkali. Air beralkali kaya dengan ion mineral beralkali seperti ion kalsium, kalium dan magnesium. Dengan minum sekurang-kurangnya lima gelas air alkali setiap hari akan beransur-ansur menurunkan keasidan badan dan membolehkan badan membuang semua sisa buangan yang dikeluarkan.
l Makan makanan yang membentuk alkali seperti (mengikut urutan kealkaliannya): halia, kacang ginjal, bayam, kacang soya, pisang, buah berangan, karot, kulat, strawberi, ubi kentang, lobak, lobak putih, labu besar, keledek, turnip, jus oren, buah epal, putih telur, buah pir, jus anggur, timun, tembikai, terung, kopi, bawang, teh, kacang panjang, susu manusia, susu lembu dan tofu.
7. Herba, suplemen nutrien dan mineral yang menyumbangkan kepada kealkalian.
l Makanan super seperti klorella, spirulina, aphanizomenon flos-aquae, rumput gandum dan rumput barli menambahkan alkali kepada darah. Salah satu formula seperti itu yang saya syorkan kepada pesakit saya ialah “Greens Total” yang diperkuatkan dengan 76 jenis makanan super, herba dan fitonutrien yang membersihkan serta merancakkan sistem badan. Ia juga kuat mengalkalikan.
l Suplemen kalsium yang baik.
8. Lain-lain suplemen penting untuk pesakit kencing manis
l Dalam semua keadaan gula darah tinggi, adalah penting untuk memastikan pesakit mengambil diet yang sesuai, iaitu yang rendah gula dan kanji serta mengambil suplemen formula multivitamin khas untuk pesakit kencing manis yang mengandungi nutrien penting seperti Asid Alfa Lipoik, Kromium, Biotin dan Vanadium untuk membantu menguruskan paras gula darah. Ini merupakan 4 nutrien penting untuk pesakit kencing manis kerana ia membantu meningkatkan sensitiviti insulin, menstabilkan paras gula darah dan mencegah perkembangan komplikasi kencing manis.
l Herba seperti pati kayu manis dengan Banaba juga penting kerana mempunyai ciri-ciri yang boleh menurunkan paras gula darah. Pilihlah pati kayu manis larut air yang dipiawaiankan kerana ia mengandungi Polifinol jenis A Polimer yang dapat meningkatkan aktiviti insulin sebanyak 20 kali, oleh itu ia membuatkan paras gula darah dalam kawalan. Banaba mengandungi asid korosolik yang selamat dan berkesan untuk menurunkan paras gula darah. Bila digabungkan, kedua herba ini berfungsi secara bersinergi dan mengawal paras gula darah.
9. Terapi Bowen: Salah satu teknik yang diamalkan di klinik saya ialah satu bentuk kerja unik dilakukan ke atas badan dan ini mengawal sistem badan serta menyahtoksikkan badan daripada sisa buangan berasid.
10. Gelombang “Far Infrared” - gelombang terapi ini menusuk sedalam kira-kira 2 hingga 3 inci ke dalam kulit dan menaikkan suhu badan untuk mengeluarkan sisa buangan berasid daripada sistem. Salah satu alat seperti itu ialah “FIR Hothouse Dome” yang saya syorkan kepada para pesakit saya.
Ini merupakan beberapa cara dan kaedah yang lazimnya saya masukkan sebagai sebahagian daripada modul rawatan untuk mereka yang menghadapi masalah gula darah. Saya harap rencana ini memberi pendekatan baru yang agak berbeza mengenai kesihatan anda agar ia boleh memberi panduan dalam mencari penyelesaian terhadap masalah penyakit kencing manis anda.

Kanser payu dara pembunuh utama
PUTRAJAYA 9 Jun - Sebanyak 31 peratus pesakit kanser wanita di negara ini terdiri daripada pesakit kanser payu dara yang menjadikan kanser itu kekal sebagai pembunuh utama wanita.
Menteri Kesihatan, Datuk Liow Tiong Lai berkata, peningkatan kanser tersebut bukan sahaja dikesan di negara ini tetapi berlaku di seluruh dunia.
''Berdasarkan statistik pada 2003, sebanyak 3,738 kes baru untuk kanser payu dara telah dilaporkan di negara ini.
''Di peringkat dunia pula, 1.05 juta wanita menghidap kanser payu dara setiap tahun," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Kemas Kini Patologi Payu Dara di Hospital Putrajaya di sini hari ini.
Tiong Lai berkata, hanya 20 peratus pesakit kanser payu dara menerima rawatan awal sekali gus menyebabkan ramai pesakit gagal disembuhkan.
''Jika pesakit menerima rawatan pada peringkat awal maka peluang sembuh adalah mendekati 100 peratus.
''Jika pesakit menerima rawatan selepas kanser merebak ke bahagian badan lain, peluang sembuh adalah kurang daripada 50 peratus," katanya.
Sehubungan itu, beliau menyarankan wanita yang berumur 20 tahun ke atas menjalankan ujian sendiri dari semasa ke semasa.
''Wanita berumur 30 tahun ke atas juga dinasihatkan supaya menjalankan ujian di pusat perubatan setiap tahun,'' katanya.
Kata beliau, rawatan untuk pesakit payu dara boleh diperolehi di 55 hospital kerajaan manakala empat hospital iaitu di Putrajaya, Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Kota Bahru menyediakan pembedahan 'endocrine' untuk pesakit.
''Buat masa ini, kita mempunyai enam pakar untuk pembedahan ini manakala enam lagi sedang menjalankan latihan," katanya.
Tambahnya, hospital kerajaan mempunyai 60 ahli patologi anatomical dan seorang daripadanya merupakan pakar dalam patologi payu dara.
''Pakar patologi payu dara ini ditempatkan di Hospital Putrajaya," katanyaWanita dan penyakit tiroid
TIROID adalah satu kelenjar yang terletak di bahagian hadapan leher dan menjaga beberapa fungsi utama badan. Penyakit tiroid boleh mempengaruhi hampir kesemua bahagian-bahagian badan dan juga merbahaya untuk kesihatan.
Penyakit tiroid lebih kerap berlaku di kalangan wanita berbanding lelaki. Penyakit ini juga boleh berlaku semasa dan selepas kehamilan. Rawatan untuk penyakit ini bagaimanapun selamat serta mudah.
* Kelenjar tiroid
Secara anatomi, kelenjar tiroid terbahagi dua, seperti rama-rama. Dua hormon dikeluarkan kelenjar ini iaitu hormon tiroksin (T4) dan juga triiodotiroksin (T3).
Hormon-hormon ini mengawal kadar perjalanan kebanyakan fungsi-fungsi badan yang dipanggil metabolisma.
Meningkatnya hormon-hormon ini bermakna metabolisma badan meningkat dan begitulah sebaliknya akan berlaku jika hormon terbabit dikurangkan.
Dengan metabolisma yang tinggi, anda mungkin berasa panas dan begitulah sebaliknya. Jadi kelenjar tiroid membantu fungsi badan anda berjalan pada kadar yang selamat dan berkesan.
Kawalan kelenjar ini dilakukan oleh kelenjar pituitari pada otak, melalui hormon perangsang tiroid.
Apabila hormon tiroid banyak, penyakit hipertiroidisma berlaku dan sekiranya hormonnya sedikit, penyakit hipotiroidisma pula berlaku.
Penyakit kencing manis juga boleh menganggu pengeluaran hormon tiroid.

* Diagnosis penyakit tiroid
Terdapat ujian, pemeriksaan dan juga rungutan tertentu yang boleh digunakan untuk diagnosis penyakit tiroid.
Anda juga mungkin akan menghidap penyakit-penyakit lain susulan daripada perjalanan fungsi kelenjar tiroid yang tidak teratur.
Leher perlu diperhatikan kerana kelenjar tiroid akan bergerak dengan tindakan menelan. Jika dipegang, boleh dirasai bentuk kelenjar dan juga pergerakannya dengan menelan.
Kulit dan mata juga boleh diperiksa di samping suhu badan serta berat badan boleh diamati untuk memastikan masalah kelenjar tiroid.
* Penyakit hipotiroidisma
Penyakit ini berlaku apabila kelenjar tiroid anda tidak berfungsi secara optimum sehinggakan hormon-hormon tidak dikeluarkan secukupnya.
Ubat yang dimakan untuk merawat fungsi tiroid yang berlebihan juga boleh menyebabkan penyakit hipotiroidisma.
Lazimnya, penyakit hipotiroidisma ini disebabkan oleh keradangan pada kelenjar tersebut, dipanggil tiroiditis.
Penyakit ini juga dikenali sebagai penyakit Hashimoto. Penyakit autoimun ini merangsang pertahanan badan supaya mengeluarkan antibodi terhadap kelenjar tiroid.
Akibatnya, otak mengeluarkan isyarat melalui hormon perangsang tiroid supaya kelenjar tiroid berkerja dengan lebih kuat.
Akibatnya, kelenjar tersebut membesar dan dipanggil sebagai goiter. Lama kelamaan, kelenjar tiroid tidak lagi dapat mengeluarkan hormon yang diperlukan oleh badan.
Cara pemakanan yang tidak betul juga boleh menyebabkan hipotiroidisma (rujuk pada intisari makanan yang mempunyai kandungan iodin).
Simptom hipotiroid dengan perlahan-lahan akan dirungutkan dan sebab itu juga anda mungkin tidak mempunyai rungutan berbulan-bulan dan juga mungkin bertahun-tahun lamanya walaupun menghidap penyakit hipotiroidisma.
Ujian paras darah hormon tiroid akan dilakukan untuk mengesahkan yang anda sememangnya menghidapi hipotiroidisma. Sekiranya paras hormon adalah normal, mungkin anda mempunyai penyakit-penyakit lain dan ujian lanjutan mungkin diperlukan.
Hormon tiroid akan diberikan kepada anda supaya paras hormon tiroid badan kembali normal dan terdapat kemungkinan anda terpaksa mengambil hormon ini selama-lamanya.
Dos ubat juga mungkin diubah secara berkala dan ujian darah mungkin dilakukan.
* Hipertiroidisma
Penyakit ini berlaku apabila kelenjar tiroid anda mengeluarkan hormon secara berlebihan. Ini menyebabkan metabolisma badan meningkat. Penyakit ini lazimnya berlaku pada wanita sekitar umur 20 hingga 40 tahun.
Penyakit Grave adalah penyebab utama peningkatan aktiviti kelenjar ini. Biasanya mata mereka yang menghidapi penyakit ini akan kelihatan seperti mata ikan emas!
Selain itu, ubat yang diambil untuk penyakit hipotiroid juga mungkin menyebabkan hipertiroid, jadi pengawasan doktor amatlah penting.
Penyakit hipertiroid ini boleh juga menyebabkan ‘ribut tiroid’ terutamanya apabila anda mengalami masalah kesihatan lain yang akut. Ribut tiroid ini menyebabkan anda mendapat demam, peningkatan degupan jantung, dan juga perubahan fungsi otak seperti kekusutan pemikiran, sawan, cemas keterlaluan dan mungkin juga menyebabkan koma.
Rawatan yang diberikan akan mengurangkan pengeluaran hormon tiroid. Ubat untuk mengurangkan degupan jantung juga mungkin perlu diberikan.
Sekiranya rawatan yang diberikan gagal, mungkin rawatan menggunakan iodin beradioaktif diberikan dengan niat untuk memusnahkan sebahagian kelenjar tiroid anda. Pembedahan juga salah satu daripada kaedah rawatan yang boleh membantu.
Sekiranya anda mendapati adanya bengkak kecil iaitu nodular pada kelenjar tiroid, pemeriksaan perlu dilakukan untuk mengetahui sama ada ianya kanser ataupun masalah nodular biasa.
Pemeriksaan ultrasound dan juga biopsi ataupun aspirasi menggunakan jarum perlu dilakukan. Rawatan lanjut akan dibincangkan doktor dengan anda semasa lawatan kesihatan susulan.
* Penyakit tiroid semasa mengandung
Penyakit tiroid memberikan risiko pada anda dan juga kandungan. Sebab itulah pentingnya anda menjalani pemeriksaan kesihatan semasa lawatan pertama ke klinik ibu mengandung.
Dengan rawatan, anda boleh mengandung secara normal dan selamat. Rawatan anda juga mungkin diubah dos ubatnya secara berkala di samping ujian darah dan juga ujian-ujian lain yang difikirkan perlu.
Rawatan iodin beradioaktif tidak akan diberikan pada pesakit-pesakit semasa mengandung. Ada juga sesetengah ibu mengalami masalah tiroid selepas bersalin.
Ini dipanggil sebagai postpartum tiroiditis. Lazimnya paras hormon tiroid ibu terbabit kembali ke paras normal dengan pantas. Namun, ada segelintir daripada ibu terbabit yang mungkin akan mengalami hipotiroidisma pada masa hadapan.
Perlu ditegaskan di sini bahawa ujian pengesanan ataupun ujian darah hormon-hormon tiroid bukan merupakan pemeriksaan rutin semasa pemeriksaan antenatal.

0 ulasan:

 

Blogger news

Radio Manis FM Dengarkan Kami Di Kelantan - 90.6FM, Terengganu - 102.0FM, Pahang - 95.1FM KeNingaU FM

Blogroll

About